Sunday, 30 December 2012

Mesin Masa

     Aku berada didalam ruangan masa yang akan membawa aku ke tahun hadapan; Tahun 2013. Berada di dimensi yang baru adalah bukan kehendak aku. Aku hanya diberi dua pilihan yang akan menentukan kehidupan aku. Yang pertama, pilihan yang dirancang dan ditetapkan orang tua aku. Yang kedua, adalah pilihan yang dicadangkan oleh orang tua aku. Dan ya! Dalam diberi pilihan antara dua pilihan, aku akan membuat pilihan yang ketiga; Pilihan dimana aku yang lahirkan sendiri dan tiada perancangan seterus.

Kurang daripada 24 jam dari sekarang, ya'ini dari jam 11:26 zon masa UTC+08:00. Aku akan berkenalan dengan emosi yang baru. Ahh! Ini bukan keinginan aku! Tapi, aku tidak mampu untuk melawan sistem masa yang tiada butang untuk mengundurkan masa. Mesin masa ini hanya mempunyai satu sistem tugas dan matlamat. Ya'ini terus kehadapan dan tiada undur walaupun satu milisaat. Tiada sama sekali. Dan aku didalam ruangan ini akan terus kehadapan dan terus berhadap dengan apa yang didepan. Tiada jalan kebelakang. Aku akan terperangkap di dimensi 2013 selama 365 hari dan menjalani hidup dengan berkenalan emosi yang baru.

Azam di dimensi baru? Tiada. Aku tiada membuat azam. Pada aku, dimensi ini cuma fiksyen. Apa yang ada aku sarung pakai untuk sepadankan dengan emosi. Tiada pula anggap aku direaliti. Ahh! Ini semua fiksyen!

"Hari ini,
Lengkap 366 halaman muka surat
Aku tuliskan peristiwa manis dan kelat

Aku siap dengan persiapan
Menjalani proses pemformatan dendam memoir
Dan bertelanjang berhadap emosi yang baru
Sejasad ringan tanpa menggalas sebarang peristiwa

Kerna,
Di dimensi yang hadapan
aku akan menulis catatan peristiwa yang baru
Menyarungkan topeng emosi yang pelbagai
Berhadap dengan peristiwa yang aku tidak tahu

Aku akan terkurung
Selama 365 hari selepas ini
Dan akan ke dimensi lain lagi."

31 Disember, 15:33.

Thursday, 27 December 2012

Neraka Dalam Diam

Setiap detik,
Dada ditumbuk kuat perasaan celaka
Prasangka buruk menembak tepat ke minda
Suara-suara negatif menerajang gegendang telinga

Keliling cuma berdiri lembaga takut, resah, dan fobia
Sejasad batin dihenyak oleh lembaga-lembaga celaka
Jantung ditikam-tikam senjata tajam halimunan mereka
Bergelutan aku melepaskan diri
dari cengkaman kemelut jiwa

Aku lelah
Mengesakkan tangis secara diam
Menahan separuh nyawa dalam-dalam

Yang nyata,
Aku terkulai layu
Hampir mati sebatin aku

Yang pasti,
Lembaga-lembaga celaka sial ini
Tidak membenarkan aku terus mati
Siksaan dan tikaman bagaikan infiniti
Terus dan berterusan tanpa noktah mati.

28 Disember, 11:31.